Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Umat Islam yang tidak dapat mengerjakan ibadah haji tahun ini dinasihatkan tidak bersedih mahu pun risau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata, mereka sebaliknya perlu memahami maksud istita'ah iaitu antara syarat wajib haji yang bermaksud kemampuan seseorang.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri pernah ditanyakan sama ada ibadah haji itu wajib dilakukan setiap tahun namun baginda berkata jika diwajibkan sedemikian ia akan menyusahkan individu berkenaan.

"Syarat untuk menunaikan haji ini ialah istita'ah, kemampuan. Walaupun ada duit, sihat badan, kadang-kadang perjalanan nak ke Makkah contohnya tidak selamat maka kita tidak berdosa (jika tidak menunaikan haji).

"Yang berdosa dan salah jika kita ada kemampuan, ada kesihatan dan kita boleh pergi, tiba-tiba kita tak mahu pergi. Itu tidak boleh," katanya pada sidang media Perasmian Sesi Taklimat Umum dan Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, tadi.

IDRIS Ahmad ketika pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera. FOTO Mohd Fadli Hamzah
IDRIS Ahmad ketika pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Idris berkata, biarpun tidak mampu menunaikan ibadah haji kerana kekangan peraturan, umat Islam akan tetap mendapat pahala daripada Allah SWT.

Idris sebelum ini dilaporkan berkata, Kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah sekiranya ada negara yang menolak untuk menunaikan ibadat itu tahun ini.

Berikutan itu, pihaknya memaklumkan akan membuat rayuan melalui Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dalam masa terdekat.

Idris Ahmad kelmarin mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 1:53 PM