GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang warga emas Khatijah Ali, sanggup menolak Bantuan Kewangan Haji ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH) kepadanya pada tahun ini, bagi memberi peluang kepada bakal haji yang lebih memerlukan bantuan itu.

Pesara sektor swasta berusia 63 tahun dari Melaka itu menganggap, tindakan berkenaan sebagai sumbangan atau sedekahnya supaya lebih ramai individu yang ingin menunaikan haji mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

Khatijah mengambil pendekatan membuat bayaran penuh kos haji sebanyak RM30,850 sekali gus menolak tawaran Bantuan Kewangan Haji disediakan TH untuknya berjumlah RM19,870.

"Saya mula menabung di Tabung Haji pada 2 Februari 2007 dan daftar haji pada 7 Januari 2009. Simpanan saya di TH mencukupi dan saya menolak bantuan diberikan untuk bantu yang lain," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Bantuan Kewangan Haji adalah usaha TH sebagai institusi kewangan Islam untuk membantu kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadah haji.

Pada tahun ini, TH memperuntukkan RM400 juta bagi menampung kos jemaah haji kumpulan berkenaan dan akan terus membiayai bantuan itu secara bersasar walaupun kos haji ke Tanah Suci meningkat kepada RM30,850 berbanding RM28,632 tahun lepas.

Bagi seorang pengusaha projek pertanian di Perak yang hanya ingin dikenali sebagai Saleh, 48, dia berpegang kepada syarat istita'ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

"Saya memilih menggunakan wang tabungan sendiri yang mula disimpan ibu bapa saya di Tabung Haji sejak awal 80-an dan saya menyambung menyimpannya setelah dewasa. Walaupun ditawarkan Bantuan Kewangan Haji, saya beranggapan adalah lebih afdal menanggung keseluruhan kos mengerjakan haji di Tanah Suci sendiri.

"Tambahan pula wang yang disimpan mencukupi untuk menanggung keseluruhan kos. Apabila tidak mengambilnya (Bantuan Kewangan Haji), sekurang-kurangnya ia boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan," katanya.

Saleh yang sepatutnya menunaikan haji pada 2022 namun tertangguh akibat Covid-19, tersenarai dalam giliran haji dengan tawaran Bantuan Kewangan Haji bagi kumpulan B40 sebanyak RM10,850 untuk mengerjakan haji pada Jun lepas.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, Bantuan Kewangan Haji secara bersasar akan meringankan beban jemaah haji yang mungkin menghadapi kesukaran kewangan menunaikan ibadah haji kali pertama.

Beliau berkata, bantuan itu bersifat inklusif dan adil kepada pelaksanaan haji, dengan setiap jemaah haji yang mempunyai pelbagai latar belakang kewangan akan memiliki peluang menunaikan haji.

Mengenai tindakan segelitir penerima Bantuan Kewangan Haji yang memilih untuk membayar kos haji penuh, Nur Hafizah berkata, dana bantuan yang tidak digunakan itu boleh diagihkan semula kepada pendeposit TH dalam bentuk dividen pada tahun berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 8:38 AM