SEBAHAGIAN daripada kumpulan pertama jemaah haji bagi 1445H/2024 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal Mei lalu.
SEBAHAGIAN daripada kumpulan pertama jemaah haji bagi 1445H/2024 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal Mei lalu.
Oleh Datuk Dr Luqman Abdullah

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ada menerima soalan berhubung penggunaan visa pelancong Arab Saudi dan tinggal lebih lama di Makkah sehingga sampai musim haji, sekali gus melakukan ibadah berkenaan mengguna visa terbabit. Adakah sah ibadah haji berkenaan.

Ringkasan jawapan

Perbuatan menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang dilarang kerana menipu dan melanggar undang-undang pemerintah setempat.

Manakala ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan visa terbabit adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun haji

Huraian jawapan

Ulama bersepakat bahawa haji adalah ibadah yang wajib ke atas setiap umat Islam yang memenuhi segala syaratnya iaitu mukallaf, merdeka dan istita'ah dan berkemampuan. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (Surah ali Imran: 97)

Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk pergi menunaikan haji mesti mendapat visa khusus haji.

Manakala visa pelancongan hanya dikhususkan untuk aktiviti pelancongan dan umrah dan visa ini tidak termasuk dalam aktiviti menunaikan haji, bekerja dan belajar.

Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji atau tidak mampu untuk mendapatkannya atas faktor menunggu giliran, kewangan dan sebagainya maka ia termasuk dalam kategori orang yang tidak memiliki kemampuan atau istita'ah.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac) menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah untuk mengerjakan haji dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga masuk musim haji adalah satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi.

Penyalahgunaan visa ini membabitkan keselamatan pemegang visa yang tidak diiktiraf untuk melaksanakan haji dan boleh mencemarkan nama dan hubungan baik antara dua negara.

Pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji (LTH).

Syarat istita'ah atau berkemampuan dalam mengerjakan haji untuk sampai ke tanah haram juga adalah faktor dalam menentukan kewajipan seseorang itu untuk menunaikan haji seperti perjalanan yang aman dan selamat.

Bahkan tidak wajib untuk menunaikan haji sekiranya perjalanan terbabit terdapat ancaman terhadap diri dan harta. Imam al-Nawawi menyebut: "(Antara syarat istita'ah) aman dalam perjalanan, sekiranya takut ke atas diri atau hartanya daripada ancaman binatang buas, musuh atau perompak serta tiada jalan lain yang sesuai (untuk pergi haji) maka tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji."

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa visa perjalanan haji dan pasport yang diiktiraf kerajaan adalah salah satu syarat istita'ah atau kemampuan yang perlu dipenuhi sebelum mengerjakan haji.

Hal ini akan memberi jaminan keselamatan oleh kerajaan Arab Saudi ketika mengerjakan haji.

Menggunakan visa umrah untuk mengerjakan haji adalah satu kesalahan seperti yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Arahan yang dikeluarkan untuk tujuan kebaikan dan menjaga kepentingan umat Islam wajib dipatuhi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti: "Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah."

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami arahan pemerintah yang tidak membawa kepada maslahah umum tidak wajib untuk dipatuhi. Ini dapat difahami sebaliknya bahawa jika arahan pemerintah itu bertujuan untuk menjaga maslahah umum maka wajib dipatuhi.

Kesimpulan

Perbuatan menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang haram dan berdosa kerana menipu dan melanggar undang-undang.

Manakala ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan visa terbabit adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun haji.

Wallahu'alam

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:00 AM