Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Orang ramai mengambil peluang untuk berbuka puasa secara terbuka dengan duduk bersila bersama keluarga di Dataran Sungai Kelantan selepas diberi kebenaran sejak awal Ramadan lalu.

Tinjauan ke lokasi berkenaan semalam, mendapati terdapat ratusan orang memenuhi dataran berkenaan yang bukan sahaja terdiri penduduk di sini, malah orang ramai dari jajahan lain seperti Pasir Mas, Tumpat, Jeli dan Pasir Puteh turut sama mengambil peluang itu.

TINJAUAN orang ramai berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Sungai Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TINJAUAN orang ramai berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Sungai Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Orang ramai juga dilihat menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta berada dalam jarak tertentu untuk berbuka.

Ahmad Rozaini Rosdi, 28, berkata, peluang berbuka puasa secara santai itu tidak dilepaskan olehnya dan isteri, Nur Syamimi Mat Isa, 25, yang membawa bekalan nasi dimasak dari rumah.

"Selain bersama isteri, dua adik saya juga turut serta kerana mahu merasai sendiri suasana berbuka beramai-ramai begini. Ternyata, ia suatu pengalaman yang menarik selain dapat melihat pelbagai keletah orang ramai.

"Selepas dua tahun aktiviti begini tidak dapat dijalankan, saya merasa puas dan rindu untuk kembali berkumpul namun dalam masa yang sama masih berhati-hati dengan penularan wabak yang masih ada.

"Saya datang ke dataran ini pada 6 petang bagi memastikan ada tempat untuk kami berbuka kerana sudah dapat mengagak bahawa ia dipenuhi oleh ramai orang jika datang lewat," katanya yang berasal dari Kampung Sri Aman 2, Pasir Puteh.

Sementara itu, Nur Nazwani Natasha Mohd Hairi, 22, berkata, pada awalnya dia dan keluarga hanya keluar ke bazar Ramadan berdekatan untuk membeli juadah berbuka sebelum tertarik melihat orang ramai yang berkumpul dan bersila di dataran untuk berbuka.

"Melihat kepada situasi berkenaan, kami sekeluarga turut membuat keputusan untuk berbuka di sini walaupun terpaksa duduk tidak beralas di atas rumput kerana ia perancangan saat akhir.

"Suasana memang meriah dengan masing-masing membawa pelbagai jenis juadah dan kami bagaikan saling mengenali apabila dapat berborak rancak antara satu sama lain sementara menunggu azan untuk berbuka.

"Sebaik siap berbuka, dapat dilihat orang ramai mula berpusu-pusu beransur balik untuk mengerjakan solat Maghrib, tidak kurang juga ada yang memenuhi surau yang terdapat berdekatan kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 3:08 PM