Penduduk Kampung Teluk Paku berkumpul untuk berbuka puasa pada Majlis Berbuka Puasa Sekampung di dataran kampung berkenaan. FOTO ZAID SALIM
Penduduk Kampung Teluk Paku berkumpul untuk berbuka puasa pada Majlis Berbuka Puasa Sekampung di dataran kampung berkenaan. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai kembali dirasai penduduk Kampung Teluk Paku, di sini, apabila lebih 200 penduduk bergotong-royong untuk menyediakan juadah di dataran kampung berkenaan, semalam.

Tradisi berbuka puasa 'sekampung' sejak 20 tahun lalu itu jelas membuktikan perpaduan erat di kalangan penduduk kampung berkenaan tanpa membezakan fahaman politik.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Teluk Paku, Ayob Mamat, 63, berkata dia menghargai kerjasama yang diberikan penduduk apabila Majlis Berbuka Puasa Sekampung itu kekal sehingga kini sejak 2003 lalu.

"Setiap tahun program ini mendapat sambutan dari kalangan penduduk semua peringkat usia dan tahun ini jumlah kehadiran sangat memberangsangkan melebihi tahun-tahun sebelum ini.

"Sangat meriah kerana penduduk sudah berkumpul sejak pagi untuk bergotong-royong menyediakan juadah sehingga masuk waktu berbuka.

"Setiap tahun kita menyembelih seekor lembu dan menggunakan 35 kilogram (kg) beras, ikan masin, sambal belacan selain pencuci mulut seperti tembikai serta minuman selain membeli 30 ekor ayam pusing," katanya.

Ayob berkata, pihaknya akan terus mempertahankan tradisi berbuka puasa itu sekali gus berharap generasi akan datang dapat mengekalkannya dalam mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung berkenaan.

"Isu-isu politik yang berlaku dalam negara tidak menjejaskan keharmonian kampung ini. Bagi kita politik perlu diketepikan. Apa yang utama ialah kesepakatan, perpaduan dan keserasian dalam kalangan penduduk kampung," katanya.

Penduduk, Mohd Bakri Jusoh, 33, berkata program berkenaan dapat menyatupadukan penduduk dan ia juga seharusnya dilakukan di kampung lain.

"Program ni diadakan sejak saya masih kecil. Ramai yang datang tidak kira kecil, besar, tua atau muda. Semuanya berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa di sini.

"Apa yang saya tahu, hanya kampung ini sahaja masih mengekalkan majlis seumpama ini dan kita harap kampung lain pun turut dapat anjurkan program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 2:19 PM