NABILA dan Nik Iruwan bernikah pada 18 November tahun lalu.
NABILA dan Nik Iruwan bernikah pada 18 November tahun lalu.
Norhayati Nordin


PERTAMA kali puasa Ramadan berdua dengan suami tercinta, Nabila Razali, 32, amat bersyukur, namun gementar terutama dalam memastikan penyediaan hidangan bersahur dan berbuka.

Empat bulan bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 39, penyanyi lagu Permata Hati dan Peluang Kedua ini berkata, mereka semakin memahami karier serta menghormati masa masing-masing.

"Pengalaman pertama kali berpuasa Ramadan dengan suami sudah tentu saya gementar sebab baharu bergelar isteri, terutama untuk menyediakan persiapan juadah bersahur dan berbuka.

"Tapi, Alhamdulillah kerana kami berdua sangat memahami karier dan menghormati masa masing-masing. Jadi, apabila saya ada kelapangan masa sempat memasak untuk sahur dan berbuka," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali ini, sekiranya sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat memasak di rumah, mereka berdua berbuka puasa di luar saja.

"Semuanya bergantung pada keadaan kesibukan kerja kami. Tapi, macam saya cakap, Alhamdulillah suami sangat memahami kerja saya dan begitu juga saya faham urusan kerjanya.

"Apa pun, kami berdua sangat sibuk dengan kerja dan tetap berharap supaya di bulan puasa ini dapat memberi seribu satu manfaat buat kami melakukan ibadah bersama-sama," katanya.

Pelakon drama Pesan Pada Hati dan Luruhnya Bunga Cinta ini berkata, dia bagaimanapun gembira suaminya tidak cerewet memilih hidangan dalam soal sahur dan berbuka.

Menurut Nabila, dia juga sebenarnya kagum dengan Nik Iruwan kerana suaminya itu hanya makan kurma dan minum air saja ketika bersahur.

"Bagi hidangan berbuka pula, suami saya boleh makan pelbagai hidangan dan tak tertumpu kepada nasi saja sebab dia juga sukakan makanan Jepun atau pasta," katanya.

Terdahulu, Nabila dan Nik Iruwan selamat bernikah pada 18 November tahun lalu pada majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di Pahang yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:55 AM