GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah kini disimpan sehingga notis seterusnya serta sedang menunggu proses analisis teknikal dari syarikat Boeing.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chestee Voo berkata, punca utama yang dikenal pasti akan ditangani bagi memastikan kaedah latihan dan keselamatan dapat dipertingkatkan bagi semua kakitangan penerbangan terbabit.

"Susulan perkara ini, CAAM akan mengeluarkan keperluan tambahan yang diperlukan bagi memastikan pematuhan kepada amalan keselamatan terbaik dan menjaga kepentingan keselamatan orang awam.

"CAAM memberi jaminan bahawa sistem pengawasan keselamatan di Malaysia yang dikawal selia oleh CAAM adalah ketat dan berkesan dalam menguruskan risiko berdasarkan peraturan dan undang -undang International Civil Aviation Organization (ICAO),"katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 April lalu, Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan pesawat MH2664 yang dalam perjalanan ke Tawau pada Ahad lalu, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca yang buruk.

Tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang pesawat berkenaan membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur demi kepentingan keselamatan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 5:24 PM