PESAWAT milik MAB (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
PESAWAT milik MAB (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Malfungsi sistem pitot-statik menyebabkan Penerbangan MH2664 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dalam perjalanan ke Tawau Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo berkata, penemuan itu dibuat selepas CAAM menyemak laporan awal siasatan keselamatan dan kejuruteraan berkaitan insiden terbabit.

"Berdasarkan laporan awal yang diekstrak daripada Perakam Data Penerbangan (FDR), didapati berlaku isu teknikal semasa penerbangan itu susulan malfungsi sistem pitot-statik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sistem pitot-statik ialah instrumen yang mengukur perbezaan tekanan untuk menentukan kelajuan dan altitud udara.

Beliau berkata, malfungsi itu menghasilkan petunjuk kelajuan palsu yang menyebabkan pesawat menaik dan menyahaktifkan fungsi pandu auto.

"Sebagai respons, juruterbang segera bertindak mengambil alih kawalan terhadap pesawat itu.

"Ini penting bagi memastikan pesawat kekal berada di bawah kawalan juruterbang berdasarkan petunjuk tepat yang masih ada dengan menggunakan instrumen yang masih berfungsi," katanya.

Voo berkata, data keselamatan menunjukkan terdapat input perubahan mendadak daripada juruterbang semasa percubaan mengambil alih kawalan pesawat itu.

"Bagaimanapun, ini menyebabkan perubahan pada pecutan dan altitud yang selari dengan laporan juruterbang serta pengalaman penumpang dalam pesawat itu.

"Kesemua tindakan pembetulan ini, ditambah pula dengan cuaca buruk, menyebabkan penumpang berasa tidak selesa di dalam kabin," katanya.

Beliau berkata, tindakan awal kru penerbangan dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal seperti prosedur operasi standard adalah mencukupi berdasarkan laporan awal siasatan CAAM dan FDR.

Voo berkata, CAAM sudah mengarahkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk melaksanakan segera beberapa keperluan bagi mengekalkan pengawasan keselamatan yang berkesan.

Antaranya, beliau berkata, meningkatkan program Latihan Pencegahan dan Pemulihan yang Tidak Baik (UPRT) MAB untuk memberi penekanan kepada tindakan awal serta masa yang diambil untuk bertindak balas terhadap sesuatu isu.

"Perkara ini akan diwajibkan CAAM kepada semua pengendali pesawat komersial," katanya.

Beliau berkata, CAAM turut mengesahkan bahawa pesawat yang terjejas direhatkan sehingga notis lanjut dan kini menunggu analisis teknikal daripada Syarikat Boeing.

"Punca insiden yang dikenal pasti sedang ditangani bagi memastikan kaedah latihan dan keselamatan dipertingkat untuk semua kakitangan penerbangan terbabit," katanya.

Susulan itu, CAAM akan mengeluarkan keperluan tambahan yang diperlukan bagi memastikan semua aspek ditangani dengan teliti dan amalan terbaik keselamatan dipatuhi selain menjaga keselamatan orang awam.

"CAAM ingin memberi jaminan bahawa sistem pengawasan keselamatan di Malaysia yang dikawal selia oleh CAAM adalah ketat serta berkesan dalam menguruskan risiko berdasarkan peraturan dan undang-undang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," kata Voo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 12:22 AM