POLIS meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai dua individu ini. FOTO ihsan polis
POLIS meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai dua individu ini. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


Kinabatangan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan sedang mengesan pasangan suami isteri bagi menghadiri perbicaraan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Sandakan pada 11 sehingga 14 April ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, saksi berkenaan ialah Ana Farhana Musa, 34, dan suaminya, Ismail Santaro, 37.

Menurutnya, alamat terakhir kedua-dua saksi itu ialah Ladang Bukit Mas, Jalan Jeroco, Hup Seng Plantation Sendirian Berhad.

"Dua saksi itu diminta tampil bagi membantu memberikan keterangan bersabit kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dijadualkan berlangsung selama empat hari.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Razali Basa di talian 089-561890 atau 019-6217357.

"Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 10:41 AM