SUSPEK  yang sedang dikesan. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK yang sedang dikesan. FOTO Ihsan Polis
Hazsyah Abdul Rahman


Kinabatangan: Polis memburu seorang pesalah narkotik yang dilaporkan positif Covid-19 selepas melarikan diri dari Hospital Kinabatangan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, lelaki dikenali sebagai Suhin Mursidi, 37 tahun yang juga warga Filipina sedang dikuarantin sebelum bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, lelaki berkenaan ditangkap pada Jumaat lalu atas kesalahan dadah.

Menurutnya, sebelum ini suspek diberkas di sebuah perumahan ladang kelapa sawit selepas memiliki dadah seberat 30.21 gram.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum masuk ke lokap.

"Namun, lelaki itu didapati positif Covid-19 lalu dirawat dan kuarantin di hospital berkenaan.

"Suspek disyaki melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki hospital berkenaan awal pagi hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika melarikan diri lelaki itu dipercayai memakai t shirt warna hitam dan seluar jeans.

"Operasi mengesan suspek sudah dilancarkan termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

"Orang ramai turut dialu-alukan menyalurkan maklumat sekiranya melihat suspek terbabit dengan menghubungi IPD Kinabtangan di talian 089-561890.

"Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norazmeer Azmi di talian 013-6309080," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:17 PM