Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mengadakan pertemuan bersama Pengerusi parti itu untuk membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pertemuan antara Muhyiddin bersama Tun Dr Mahathir Mohamad itu diadakan kira-kira dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Dua minggu lepas PRN Johor, dia yang mohon untuk berjumpa dan Tun kata ok untuk berjumpa.

"Belum bersetuju dengan apa yang disebutkan itu, setakat ini, 'approach' tu sudah ada tetapi setuju atau tak belum lagi.

"Mungkin buat masa ni saya boleh katakan tak atau kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan (membentuk kerjasama)," katanya ketika ditemui pada Majlis Permukiman Pejuang Terengganu, di sini hari ini.

Ketika ditanya hubungan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin, Mukhriz menyifatkan hubungan antara dua pemimpin itu masih lagi dingin di sebalik tawaran bekerjasama yang dicadangkan Bersatu.

"Luka kami belum pulih, dok (masih) berdarah lagi tetapi kami faham demi negara dan rakyat, tiada benda yang kami tidak sanggup buat kalau niatnya betul," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, Pejuang tidak akan membentuk kerjasama dengan kumpulan kleptokrat serta yang mempunyai kluster mahkamah dalam menghadapi PRU15 yang akan datang.

"Saya pernah nyatakan sebelum ini Pejuang tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat, jadi di mana ada kluster mahkamah, di situ kami tiada.

"Jadi tak perlu pertimbang adakah boleh duduk semeja dengan Umno contohnya, yang itu saya ingat paling ekstrem, jauh bezanya tetapi yang berada tengah-tengah ini banyak lagi.

"Ketika ini, Pejuang mengadakan beberapa perjumpaan sama ada dalam kalangan pembangkang dan kerajaan sendiri," katanya

Sebelum ini, Dr Mahathir memaklumkan Pejuang terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRU15.

Antara kriteria utama dalam mewujudkan gabungan itu adalah parti-parti yang terbabit perlu bersifat ikhlas dan bersih daripada sebarang salah laku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 6:19 PM