DATUK Seri Mukhriz Mahathir. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Mukhriz Mahathir. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan minat untuk membentuk tahaluf siyasi bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan beliau bertemu bekas Menteri Besar Kedah itu di Kuala Lumpur kira-kira dua bulan lalu untuk membincangkan potensi untuk bekerjasama.

"Ya, saya pernah jumpa dengan Mukhriz di Kuala Lumpur kira-kira dua bulan lalu. Beliau menyatakan hasratnya mengenai potensi kerjasama antara Pejuang dan PH Kedah.

"Tapi saya beritahu beliau yang perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

"Jadi, saya nasihatkan beliau untuk membincangkan perkara itu melalui saluran yang betul dan berjumpa dengan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi PAS baru-baru ini.

Beliau dipetik berkata, inti pati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, beliau turut mempelawa Mukhriz dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amirudin Hamzah untuk menyertai Amanah.

"Saya ada cadangkan kepada Mukhriz agar menyertai Amanah supaya mudah untuk berikan peluang kepada kedua-dua pemimpin itu untuk bertanding pada PRN akan datang.

"Bagaimanapun, mereka belum memutuskan tawaran itu," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Pejuang perlu membentuk pakatan dengan mana-mana gabungan politik untuk memastikan kelangsungan parti.

"Pejuang perlu serius mempertimbangkan bagi membentuk pakatan politik dengan mana-mana gabungan untuk mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.

"Jika gagal, mereka akan bergelut untuk mendapatkan pengaruh politik kerana Pejuang dan parti lain dalam Gabungan Tanah Air (GTA) berkongsi ideologi yang sama dengan parti besar lain seperti Umno, Pas dan Bersatu.

"Sebagai parti baharu, ia menyukarkan mereka untuk menonjolkan diri," katanya ketika dihubungi.

Azizuddin berkata masa depan Mukhriz dalam politik semakin pudar dan beliau perlu membuat keputusan yang terbaik untuk Pejuang.

"Masa tidak menyebelahinya, pengaruh politiknya sudah berkurangan.

"Apa pun masa depan Mukhriz, beliau tetap seorang negarawan yang disegani kerana sumbangan beliau sebagai Menteri Besar dan beliau akan kekal sebagai tokoh masyarakat yang akan dirujuk," katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Ia adalah tamparan hebat kepada parti itu selepas semua pemimpin kanannya termasuk Mukhriz dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 4:26 PM