BATU PAHAT, 3 Mac -- Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Tengahari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Kluang di Pitt Station, Ayer Hitam hari ini.
BATU PAHAT, 3 Mac -- Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Tengahari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Kluang di Pitt Station, Ayer Hitam hari ini.
Oleh Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah portal, Dr Mahathir mengatakan beliau tidak diberitahu mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu meminta sokongannya.

"Beliau mahu saya memberikan sokongan kepadanya dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi," katanya pada sidang media hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini yang melaporkan Muhyiddin pernah bertemunya, baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada mengusulkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, pertemuan antara Muhyiddin dan Dr Mahathir berlangsung kira-kira dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu bagaimana Pejuang dapat membantu Bersatu berikutan partinya tidak memegang banyak kerusi Parlimen.

"Saya tak tahu tetapi dia (Muhyiddin) minta saya (sokong). Kami (Pejuang) tak kuat, kami tiada wang, tapi dia minta kami sokong" katanya lagi apabila ditanya bagaimana Pejuang dapat membantu Muhyiddin.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, Pejuang belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu tetapi membayangkan beliau tidak bersetuju dengannya.

"Saya tak tahu nak kata apa (kepada Muhyiddin). Saya tak jadi perdana menteri sebab Muhyiddin. Dia tikam belakang saya.

"Sekarang orang yang dia tikam belakang itu tak mati lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 5:23 PM