ABANG Johari melihat lakaran artis bagi projek Jambatan Kampung Bintangor Baru. FOTO Mohd Roji Kawi
ABANG Johari melihat lakaran artis bagi projek Jambatan Kampung Bintangor Baru. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg enggan mengulas parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) cuba mengelak ketika diajukan soalan itu dengan alasan, kurang maklumat mengenainya.

"Malasku nak komen, buka parti barukah, apakah...," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Jambatan Kampung Bintangor Baru, Kuching, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi, namun ia tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan menubuhkan parti baharu dibuat selepas hilang kepercayaan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin selain keahliannya bersama lima lagi pemimpinnya terhenti berdasarkan perlembagaan parti itu.

Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar Bersatu dahulu, selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengenai hasrat Parti Islam SeMalaysia (Pas) Sarawak untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 (PRN-12) yang bertentangan dengan pengumuman pucuk pimpinan parti itu sebelum ini, Abang Johari berkata, itu terpulang kepada parti berkenaan.

"Saya tidak tahu sama ada itu (pengumuman bertanding) adalah arahan pimpinan tertinggi parti itu," katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, parti itu mengenalpasti beberapa kawasan untuk ditandingi pada PRN-12 termasuk kawasan tradisi Pas di negeri ini.

Jofri berkata, Pas Sarawak juga akan mencalonkan anak Sarawak dari pelbagai latar belakang akademik serta aktivis masyarakat mengikut keperluan setempat dan berkebolehan membawa aspirasi anak Sarawak.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing mendedahkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak akan bertanding di Sarawak dalam PRN12.

Beliau berkata, jaminan itu dinyatakan Muhyiddin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat pemimpin 12 parti yang membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya, pada 29 Julai lalu.

Berita berkaitan

Mukhriz presiden, 3 Adun Selangor sokong parti baharu: Tun M

Tun M tubuh parti baharu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 12:24 PM