GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Tiga sahabat dijatuhkan hukuman penjara dua tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan cubaan mencuri sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pekan Johol, tahun lalu.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Faris Zaki, 29, Mohd Najib Husain, 26, dan Mohd Ridzuwan Md Daud, 36, mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama dengan mereka yang masih bebas didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin pondok mesin ATM yang menyebabkan kerugian RM1,500.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama-sama dengan yang masih bebas cuba mencuri mesin ATM yang merupakan aset Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johol.

Pertuduhan kes itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu dilakukan di pondok mesin ATM Pekan Johol, lebih kurang 4 pagi pada 13 Disember 2021.

Sementara itu, Mohd Ridzuwan turut dituduh mencuri sebuah kereta Proton Iswara milik Pang Hee Siang, 50, pada 3 pagi 16 November 2021 di Pekan Dangi, di sini.

Mohd Najib pula dituduh sengaja menyembunyikan kereta Proton Iswara terbabit di Kampung Ulu Kepis, Temeris, di sini pada 4 pagi 17 November 2021.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara tiga tahun selepas Mohd Ridzuwan dan Mohd Najib mengaku bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 4:19 PM