GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Penganggur didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

Mohd Iqbal Izzudin Hasnan, 25, dari Bahau yang berdepan empat pertuduhan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia pada tarikh dan masa berasingan iaitu pada 5 April, 7 April, 10 Mei dan 17 Mei lalu mencuri kabel telekom milik Telekom dengan cara memotong kabel berkenaan menggunakan pemotong besi.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Jerjak, Padang Lebar, di tepi jalan Ulu Bendul, Terachi, di kawasan jalan Kuala Pilah-Temeris Dangi dan di tepi jalan Kepis Malan Dangi.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dituduh mencuri kabel sepanjang 555 meter daripada empat lokasi kejadian menyebabkan Telekom mengalami kerugian RM20,507.

Norma turut mengarahkan hukuman penjara 18 bulan ke atas tertuduh sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 3:25 PM