MOHAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
MOHAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Isteri saya sakit tuan, saya mohon ampun dan minta dirotan,” kata seorang penganggur yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, semalam, atas tuduhan melesapkan wang tiga pelanggan bank.

S Mohan, 47, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tiga kesalahan melesapkan wang bernilai RM5,000 milik tiga pelanggan dalam tempoh masa dua bulan iaitu Disember hingga Januari lalu.

Terdahulu, Mohan mengakui menyasarkan semua mangsa yang berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank sekitar bandar raya ini.

Ketika ditanya mahkamah apa yang mendorongnya melakukan perbuatan jenayah itu, tertuduh memberi alasan mahu menyara isterinya yang mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Tertuduh juga menyatakan tidak mampu membayar denda sekiranya dia dijatuhi hukuman denda kerana tiada pekerjaan dan sumber pendapatan.

Bagi menunjukkan keinsafannya, lelaki dari Pulau Pinang itu berulang kali memohon maaf atas perbuatannya dan berjanji tidak mengulanginya sebelum memohon hukuman sebatan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohan yang didakwa mencuri RM2,000 milik pelanggan bank jam 9 pagi pada 24 Disember lalu di sebuah bank di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri RM1,500 milik pelanggan bank jam 10.52 pagi pada 13 Januari 2017 di sebuah bank di Bandar Baru Uda.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mencuri RM1,500 milik pelanggan bank jam 10.30 pagi pada 10 Januari 2017 di bank di Bandar Baru Uda.

Tertuduh dikatakan menggunakan taktik tepuk bahu dan berpura-pura membantu mangsa ketika berurusan di ATM.

Bagi kesemua kesalahan dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali atau kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebatan.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara lima bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua, selain hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan berikutan semua hukuman berkenaan berjalan serentak mulai tarikh disabit kesalahan semalam.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 5:03 AM