PONDOK yang menempatkan mesin ATM di pekan Johol rosak selepas empat lelaki cuba melarikan mesin berkenaan 4 pagi tadi. FOTO ihsan polis
PONDOK yang menempatkan mesin ATM di pekan Johol rosak selepas empat lelaki cuba melarikan mesin berkenaan 4 pagi tadi. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Sebuah pondok mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhadapan Balai Polis Johol mengalami kerosakan selepas empat lelaki cuba melarikan mesin berkenaan dalam kejadian 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian disedari anggota yang bertugas di balai berkenaan selepas mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di mesin ATM berkenaan tidak berfungsi.

Katanya, anggota berkenaan kemudian pergi membuat pemeriksaan sebelum terdengar dentuman kuat dari arah pondok yang menempatkan mesin berkenaan.

"Hasil pemeriksaan daripada CCTV mendapati empat suspek cuba menarik keluar mesin ATM dengan menggunakan kabel dawai dan rantai besi.

"Namun cubaan mencuri itu gagal apabila kabel yang disambung menggunakan sebuah van Nissan Vanette dan Proton Iswara Aeroback putus," katanya hari ini.

Amran berkata, suspek kemudian melarikan diri tanpa sempat menarik keluar mesin ATM berkenaan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan struktur pondok mengalami kerosakan yang dianggarkan RM8,000.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 11:49 AM