Tiga nelayan hilang lebih 24 jam ditemui selamat di Pulau Bidan, Kedah, pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
Tiga nelayan hilang lebih 24 jam ditemui selamat di Pulau Bidan, Kedah, pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga nelayan yang dilaporkan hilang lebih 24 jam di laut selepas keluar menangkap ikan dari Pangkalan Sungai Tembus, Penaga, di sini, awal pagi kelmarin hanya bertahan dengan meminum air bagi meneruskan hidup selepas bot mereka hanyut akibat kehabisan minyak.

Menceritakan detik mencemaskan itu, seorang nelayan, Afzanizul Zakaria, 44, berkata bot yang dinaiki mereka secara tiba-tiba kehabisan minyak ketika bersiap sedia hendak pulang ke jeti.

Katanya, mereka bertiga sebelum itu bertolak keluar untuk menangkap ikan kira-kira 5 pagi kelmarin dan kebiasaannya akan pulang semula ke jeti pada 12 tengah hari.

"Namun, ketika hendak pulang secara tiba-tiba bot kami naik kehabisan minyak dan ketika itu bekalan makanan juga tidak ada menyebabkan kami hanya bertahan dengan meminum air semata-mata.

"Kebetulan pula ada ribut tengah laut malam itu (kelmarin) dan mujur ada bot lain yang ternampak situasi kami lalu mereka membantu melancarkan urusan kami sehingga pulang ke jeti ini," katanya, di sini, hari ini.

Selain Afzanizul, dua lagi nelayan ialah Muhammad Firdaus Shamsudin, 34, dan Rosidi Saad, 44.

Afzanizul berkata, ketiga-tiga mereka juga diberikan makanan oleh nelayan sebaik diselamatkan.

"Kami bersyukur sangat dan berterima kasih kepada nelayan di sana yang menghulurkan pertolongan," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan ketiga-tiga mangsa dijumpai pada 9.30 pagi tadi oleh nelayan berhampiran Pulau Bidan, Kedah selepas dilaporkan hilang pada jarak 30 batu nautika ke arah Pulau Payar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 2:55 PM