Anggota bomba  merangka kerja-kerja pencarian tiga nelayan yang dilaporkan hilang selepas mereka keluar memukat ikan sejak pagi semalam. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba merangka kerja-kerja pencarian tiga nelayan yang dilaporkan hilang selepas mereka keluar memukat ikan sejak pagi semalam. FOTO Ihsan JBPM
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga nelayan yang keluar memukat dan menangkap ikan di perairan laut di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus, di sini dilaporkan hilang awal pagi semalam.

Mereka adalah Mohd Firdaus Samsudin, 30-an, Hazizul Zakaria dan Ruzidi Saad yang masing-masing berusia lingkungan 40-an.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 10.46 pagi tadi.

"Anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pencarian selepas menerima maklumat berhubung kehilangan tiga nelayan itu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya memaklumkan bahawa ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan keluar memukat ikan sejak jam 4 pagi semalam dengan menaiki bot berwarna biru merah.

Menurutnya, tiga nelayan itu juga kebiasaannya akan pulang pada jam 12 tengahari selepas lapan jam berada di perairan laut.

Bagaimanapun, sehingga jam 10 malam tadi bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan itu masih tidak pulang ke jeti.

Difahamkan, bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan itu dipercayai hanyut ke Langkawi atau Pulau Payar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 2:13 PM