ANGGOTA APMM bertanya keadaan sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan. FOTO Ihsan APMM.
ANGGOTA APMM bertanya keadaan sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan. FOTO Ihsan APMM.
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang nelayan hilang manakala 16 orang lagi terselamat selepas bot ikan bilis dinaiki mereka karam di perairan Pulau Payar di sini, semalam.

Ketika kejadian pada 10.40 pagi itu, 17 nelayan berusia antara 27 hingga 57 tahun yang kesemuanya warga Thailand sedang melakukan aktiviti menangkap hasil laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat lokasi kejadian pada kedudukan 5.0 batu nautika dari barat laut Pulau Payar.

Menurutnya, Bot Penyelamat 5 dan Perkasa 1224 segera digerakkan dan tiba di lokasi pada 11.15 pagi bagi memberi bantuan awal.

"Seramai 16 mangsa termasuk tekong sempat diselamatkan oleh nelayan tempatan sebelum dipindahkan ke Bot Penyelamat 5, manakala seorang yang masih hilang masih dalam carian.

"Bot itu dilapor alami kerosakan selepas 'seawater inlet hose' tercabut yang menyebabkan air masuk ke bilik jentera sehingga bot tenggelam dalam masa singkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata, seorang mangsa terselamat cedera di tangan dan dada, manakala mangsa yang hilang dikenali Phanu Tarurak, 27.

"Usaha mengesannya yang disyaki tenggelam bersama bot diteruskan hari ini dengan bantuan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Difahamkan, pemilik bot turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas bagi kerja mengapungkan semula bot berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 11:32 AM