Nor Amalina Alias

Bachok: Unjang buluh milik nelayan Thailand menjadi penyelamat kepada tiga nelayan selepas bot dinaiki mereka kehabisan minyak ketika memukat ikan di perairan Kemasin, di sini, semalam.

Rohaimi Ahmad, 47, dan anak, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21, serta Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29, selamat tiba di jeti Kuala Kemasin jam 11 pagi tadi.

Rohaimi berkata, ketika kejadian dia memukat ikan di lokasi biasa mereka pergi sebelum menyedari perahu sekoci yang dinaiki kehabisan minyak kira-kira jam 3 petang.

Katanya, mereka cuba melempar sauh ke dalam laut namun tetap hanyut sehingga terjumpa unjang buluh untuk berpaut.

"Keadaan cuaca ketika itu angin kuat, selepas beberapa lama perahu hanyut kami ternampak unjang buluh yang pelik. Untuk mengelakkan terus hanyut, kami buat keputusan untuk ikat bot pada unjang ini.

"Selepas diteliti rupanya unjang itu menunjukkan kami dah berada di sempadan Thailand," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kemasin, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki Harun
Muhamad Zaki Harun

Rohaimi berkata, mereka bergantung pada unjang buluh itu daripada jam 8 malam hingga jam 9 pagi keesokan hari (Isnin) sebelum ada bot melalui kawasan itu dan membantu memberikan 10 liter minyak diesel untuk perahu mereka.

Katanya, sebaik bot kembali hidup, mereka terus mencari daratan terdekat dan mendarat di Pantai Belawan, Takbai.

"Penduduk di situ sangat membantu kami, sehingga berjaya hubungi penyelamat di Malaysia," kata bapa kepada sembilan anak ini.

Muhammad Amir pula berkata, sepanjang 13 jam berpaut pada unjang buluh, mereka hanya bertawakal kepada Allah SWT selepas tiada bot melalui kawasan mereka.

Katanya, dia hanya mampu melaung meminta tolong sehingga kehabisan suara.

Cuaca memang berjerebu dan kami tak nampak apa-apa dan hanya berserah bot hanyut. Namun kejadian ini tidak melemahkan semangat saya sebagai nelayan sejak usia 12 tahun," katanya yang mahu turun ke laut esok.

Isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kama, 41 berkata, dia bersyukur apabila mengetahui suami dan anak sulungnya terselamat dalam kejadian.

Katanya, dia mengetahui mereka terselamat dan berada di Thailand kira-kira jam 2 petang daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 1:21 PM