Tiga nelayan yang dilaporkan hilang lebih 24 jam selepas keluar menangkap ikan di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus,Penaga, di sini ditemui selamat di Pulau Bidan, Kedah, pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
Tiga nelayan yang dilaporkan hilang lebih 24 jam selepas keluar menangkap ikan di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus,Penaga, di sini ditemui selamat di Pulau Bidan, Kedah, pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga nelayan yang dilaporkan hilang lebih 24 jam selepas keluar menangkap ikan ditemukan selamat di Pulau Bidan, Kedah, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mereka berusia 30 hingga 40-an itu dijumpai pada 9.30 pagi oleh nelayan berhampiran pulau berkenaan.

"Mengikut maklumat yang diperoleh, bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan itu kehabisan minyak dan mereka kemudian diberi bantuan oleh nelayan berhampiran.

"Ketiga-tiga nelayan itu seterusnya dibawa balik ke jeti Pengkalan Nelayan Sungai Tembus, Penaga," katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan hilang pada jarak 30 batu nautika ke arah Pulau Payar.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian dilakukan bersamaagensi lain serta nelayan tempatan.

Pada masa sama, operasi turut mendapat bantuan Unit Udara JBPM dan ia dibatalkan selepas menerima maklumat berhubung penemuan tiga nelayan terbabit.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya memaklumkan ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan keluar memukat ikan sejak 4 pagi kelmarin dengan menaiki bot.

Mereka kebiasaannya akan pulang pada 12 tengah hari selepas lapan jam berada di perairan laut.

Bagaimanapun, sehingga 10 malam semalam, bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan itu masih tidak pulang ke jeti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 1:35 PM