ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di rumah mangsa yang sebelum itu diselamatkan jirannya. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di rumah mangsa yang sebelum itu diselamatkan jirannya. FOTO ihsan bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Saya tahu ada wanita warga emas terlantar di dalam dan hanya fikir untuk menyelamatkannya selepas melihat kepulan asap hitam keluar dari rumah itu," kata Ong Yi Bin, mengenai kebakaran kediaman jirannya, di Taman Kerjasama, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 1 tengah hari dipercayai akibat litar pintas menyebabkan wanita berusia 99 tahun itu melecur 10 peratus di seluruh badan.

Ong, 37, yang bekerja sebagai pereka grafik sambilan dan ibunya, Chua Lee Ying, 64, turut melecur di tangan mereka ketika menyelamatkan mangsa.

Ong berkata, sebelum kejadian, berlaku gangguan elektrik di rumahnya dan jiran memaklumkan wayar elektrik di bahagian bawah taman perumahan itu jatuh.

Katanya, dia mengesyaki ada arus elektrik besar apabila ada barang elektrik kecil miliknya mengeluarkan asap dan kipas bergerak laju.

"Tiba-tiba saya terdengar jiran menjerit ada api menyebabkan saya keluar bersama ibu untuk melihat apa berlaku.

"Ketika itulah saya nampak asap hitam dari rumah jiran dan terus melompat pagar ke rumah jiran dan cuba menarik pintu jeriji sekuat hati hingga terbuka," katanya dihubungi.

Ong berkata, sebaik menyelinap masuk dia menemui wanita itu di ruang tamu dalam keadaan terbaring di katil elektronik yang terbakar di bahagian bawah.

Katanya, dia terus menarik katil itu untuk mengangkat mangsa sebelum dibantu ibu yang mengangkatnya ke luar.

"Kami letak wanita itu di lantai sebelum jiran datang membawa kerusi untuk dia berbaring sehingga pasukan bomba tiba selepas dihubungi jiran lain.

"Wanita itu tinggal bersama seorang anak lelakinya yang tiada di rumah ketika kejadian," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Iswandy Aripin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 1.11 tengah hari sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, pihaknya mendapati 25 peratus daripada rumah itu terbakar dan operasi pemadaman tamat pada 2.42 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 11:48 PM