ZAKARIA (kanan) menunjukkan lokasi arwah ibunya ditemui dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM
ZAKARIA (kanan) menunjukkan lokasi arwah ibunya ditemui dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Meskipun keseluruhan rumah didiami ibu bapanya 100 terbakar, Zakaria Jusoh bersyukur apabila sebahagian tubuh arwah ibunya yang terperangkap dalam kebakaran itu masih sempurna.

Zakaria, 56, berkata, hanya 15 peratus sahaja fizikal arwah ibunya, Fatimah Mohd, 79, terbakar iaitu membabitkan bahagian dada dan perut serta tangan kiri dalam kejadian pagi semalam.

Katanya, arwah adalah seorang yang setia dengan al-Quran dan membaca al-Quran menjadi rutin hariannya di rumah didiami bersama bapa, Jusoh Muda, 82, di Kampung Losong Haji Su, di sini.

"Alhamdulillah, Allah masih melindungi tubuhnya daripada terbakar. Keadaannya cukup sifat dan tidak rentung sebagaimana dilaporkan media, hanya 15 peratus sahaja bahagian tubuhnya terbakar, itu pun hanya bahagian kulit sahaja.

"Malah, al-Quran yang berada di atas katil tempat arwah tidur ketika kejadian pun hanya terbakar pada bahagian tepi sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Dalam kebakaran pada 10.39 pagi semalam, Fatimah ditemui maut manakala Jusoh melecur di kaki dan belakang badan dipercayai cuba menyelamatkan isterinya itu.

KEADAAN al-Quran milik arwah Fatimah yang hanya terbakar pada bahagian tepi sahaja. FOTO ZAID SALIM
KEADAAN al-Quran milik arwah Fatimah yang hanya terbakar pada bahagian tepi sahaja. FOTO ZAID SALIM

Zakaria yang bekerja sebagai mekanik dengan syarikat pengeluar kenderaan tempatan berkata, dia dan 10 lagi adik beradiknya reda dengan takdir menimpa arwah ibu mereka.

Menurutnya, dia bersyukur kerana bapanya terselamat dalam kejadian itu walaupun sebahagian badannya melecur.

Katanya, bapanya yang melecur hampir 50 peratus kini semakin stabil dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

"Ketika kejadian bapa yang berada di ruang tamu terbau benda hangit dan mengejutkan ibu yang sedang tidur di katil sebelum turun ke tanah untuk memeriksa punca bau berkenaan.

"Ketika berada di bawah, bapa ternampak api di bahagian suis utama dan cuba masuk semula ke dalam rumah, namun gagal apabila api merebak ke ruang dengan cepat.

"Arwah ibu hanya sempat menghubungi adik perempuan yang tinggal di Kampung Kubang Tangga untuk meminta tolong, sebelum suaranya tiba-tiba hilang begitu sahaja," katanya.

Zakaria berkata, ketika ditemui, tangan kanan arwah ibunya masih menggenggam telefon.

Katanya, ketika itu dia berada di rumahnya di Kampung Durian Guling, Marang dan segera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumkan kediaman ibu bapanya terbakar.

"Sebaik tiba saya melihat bapa tidak bermaya akibat terkena bahang api dan di kawasan rumah jiran sambil ditenangkan adik beradik dan kakitangan kesihatan sebelum sebak selepas diberitahu ibu terperangkap dalam kebakaran itu.

"Berdasarkan siasatan awal Unit Forensik Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kediaman berusia 70 tahun itu terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian suis utama.

"Kerugian dianggarkan RM150,000 membabitkan perabot dan barangan elektrik serta lima motosikal dan sebuah kereta Perodua Kancil," katanya.

Zakaria berkata, jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makan Lama, Chabang Tiga, di sini, 5.30 petang semalam.

Berita berkaitan

'Suami melecur cuba selamatkan isteri [METROTV]'

'Panggilan terakhir mak sebelum maut terbakar'

'Isteri rentung, suami melecur dalam kebakaran [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:00 PM