KEADAAN rumah yang terbakar di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian semalam. FOTO Togi Marzuki
KEADAAN rumah yang terbakar di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian semalam. FOTO Togi Marzuki
BERNAMA

Pontian: Kematian wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi di sini, semalam dipercayai akibat lemas terhidu asap.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu dilaporkan kepada pihaknya jam 1.30 tengah hari dan mangsa yang berusia 48 tahun turut didapati melecur di beberapa bahagian badan.

"Bomba memaklumkan, kebakaran bermula di bahagian dapur sebelum merebak namun punca kejadian sedang disiasat unit forensik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian," katanya pada kenyataan.

Mohammad Shofee menasihati orang ramai yang mempunyai ahli keluarga OKU supaya tidak meninggalkan individu berkenaan bersendirian di rumah dan memaklumkan kepada jiran bagi penjagaan atau pemerhatian sementara sekiranya perlu.

Sementara itu, Ketua BBP Pontian Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil pada kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 12.27 tengah hari semalam.

Beliau berkata, tiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati, kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat yang musnah 70 peratus.

"Seorang mangsa yang juga wanita OKU ditemukan rentung di bilik tidur. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi pemadaman tamat jam 3.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:56 AM