ANGGOTA bomba sedang memadamkan kebakaran membabitkan empat kediaman teres setingkat di Taman Meru 10. FOTO Ihsan JBPM Perak
ANGGOTA bomba sedang memadamkan kebakaran membabitkan empat kediaman teres setingkat di Taman Meru 10. FOTO Ihsan JBPM Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kanak-kanak berusia tiga tahun berlindung di bawah katil ketika kebakaran kediaman keluarganya di Hala Taman Meru 10, Taman Meru Fasa 2B, malam tadi.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berkenaan berjaya ditemukan jirannya sebelum diselamatkan.

Dalam kejadian pada 11 malam itu, bapa kanak-kanak terbabit, Muhammad Fadzril Husaini, 32, melecur 80 peratus bahagian badannya, manakala isterinya, Nurul Asyikin Mohamed Razali, 26, melecur di muka, tangan serta kaki selain seorang lagi anak mereka berusia lima tahun turut melecur di kaki.

Selain kediaman empat beranak itu, tiga lagi rumah jenis teres setingkat berhampiran turut dimusnah antara lima hingga 50 peratus.

Menceritakan detik kejadian, Nik Rozita Mohd Yusof, 37, yang juga mangsa kebakaran terbabit, dia dan suami dikejutkan dengan suara jeritan Nurul Asyikin yang meminta tolong kerana terperangkap dalam rumahnya selepas tidak boleh membuka pintu untuk keluar disusuli dengan bunyi letupan kecil.

Menurutnya, Nurul Asyikin pada waktu itu mendakwa mereka sekeluarga gagal mencari kunci rumah untuk keluar selepas menyedari asap sudah memenuhi ruang dalam kediaman mereka.

"Pada waktu itu, saya dan suami menjerit meminta tolong jiran lain sebelum mereka bertindak beramai-ramai memecahkan pintu serta jeriji rumah berkenaan.

"Selepas pintu hadapan berjaya dipecahkan, hanya Asyikin (Nurul Asyikin) dan anak perempuannya yang berusia lima tahun ditemukan jiran berada dekat dengan pintu.

"Ketika di luar rumah Asyikin mengatakan anak lelaki bongsunya masih berada atas katil dalam bilik selain suaminya di dapur.

"Jiran-jiran yang kemudiannya masih cuba bantu menyelamatkan mendapati anak bongsu pasangan itu tiada di atas katil, sebaliknya hanya disedari menyorok di bawah katil bilik itu selepas kaki seorang dari jiran tersepak badan kanak-kanak itu.

"Api yang marak dengan cepat itu menyebabkan Muhammad Fadzril terperangkap di dapur selepas dikatakan cuba membuka pintu belakang.

"Bagaimanapun, dia berjaya dibawa dikeluarkan oleh anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Nik Rozita berkata, rumahnya musnah kira-kira 50 peratus dan banyak perabot serta peralatan elektrik juga rosak sekali gus menjejaskan persiapannya menyambut Aidilfitri minggu hadapan.

Sementara itu, kakak kepada Muhammad Fadzril, Nor Huzaila, 45, berkata, adiknya kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala Nurul Asyikin turut mengalami masalah di saluran pernafasan akibat menghidu banyak asap, selain daripada lecuran yang dialami.

Katanya, Nurul Asyikin dan anak perempuannya dikenali sebagai Sofea kini masih di zon merah hospital, manakala untuk sementara waktu anak bongsu pasangan itu yang dikenali sebagai Harraz dijaga oleh kakak sulungnya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 1:43 PM