Zaid Salim


Dungun: Peniaga kedai makan di Kampung Binjai, di sini, terpaksa menutup perniagaan mereka berikutan ketidakselesaan pengunjung dengan persekitaran berdebu angkara lori membawa muatan tanah di kawasan berkenaan.

Justeru, penduduk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap isu pencemaran debu berpunca daripada aktiviti menambun tanah di kawasan itu.

Peniaga kedai makan, Hidayah Ahmad Fauzi, 58, berkata, dia sangat kecewa kerana terpaksa membasuh kedai setiap hari bagi membersih debu di kedai makannya.

Katanya, sebelum ini, dia serta penduduk menyangkakan aktiviti mengambil tanah itu hanya seketika, namun ia berlanjutan sehingga perniagaannya terjejas apabila orang ramai mula tidak masuk makan di kedainya kerana dicemari debu.

"Kedai saya di tepi jalan besar, memang terkesan sangat dan setiap masa kena lap meja, kerusi, pinggan mangkuk dan sebagainya kesan daripada debu itu.

"Ada beberapa peniaga kedai makan terpaksa tutup sementara perniagaan mereka dan kalau perkara ini berlarutan, saya pun terpaksa menutup kedai.

"Jadi saya mewakili peniaga dan penduduk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.

Penduduk, Noramah Abidin, 38, berkata, aktiviti menambun tanah itu bermula sejak tiga bulan lalu dan keadaan persekitaran berdebu mendatangkan masalah kepada kira-kira 3,000 penduduk di kawasan itu.

Katanya, setiap hari, berpuluh lori masuk mengambil tanah bukit di kawasan berkenaan sebelum tanah itu dibawa ke suatu kawasan lain untuk ditambun.

"Bila lori itu melalui jalan utama di kawasan penempatan kami, banyak tanah jatuh di sepanjang jalan utama menyebabkan debu yang tebal.

"Jalan ini adalah laluan utama penduduk untuk ke Bukit Besi atau ke Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2) dan setiap kali kenderaan lalu, debu akan berterbangan masuk ke rumah kami," katanya.

Tinjauan NSTP mendapati banyak lori membawa muatan tanah keluar masuk di laluan berkenaan menyebabkan keadaan persekitaran sentiasa dipenuhi debu.

Beberapa peniaga kedai makan dilihat menutup perniagaan manakala penduduk tinggal berhampiran jalan terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah bagi mengelak dimasuki debu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Che Lijah, Ibrahim Senik berkata, masalah itu akan dilaporkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 7:25 PM
SEORANG pekerja menyapu debu di kedai makan di Kampung Binjai, Dungun, hari ini. FOTO ZAID SALIM
SEORANG pekerja menyapu debu di kedai makan di Kampung Binjai, Dungun, hari ini. FOTO ZAID SALIM