Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Masalah pencemaran debu yang berlarutan sejak enam bulan lalu akibat kerja naik taraf paip air menyebabkan pelanggan berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan beberapa peniaga makanan di Kampung Lubuk Meriam, di sini.

Wakil peniaga, Asrol Ahmad, 50, mendakwa masalah pencemaran debu itu berlaku susulan projek menaik taraf paip air yang terletak antara 100 ke 200 meter dari premis perniagaan mereka.

Katanya, projek itu bermula awal Jun dan berlarutan sehingga kini menimbulkan masalah debu apabila lori membawa muatan tanah keluar masuk dari tapak projek tidak dibersihkan.

"Lori-lori itu sepatutnya dibersih terlebih dahulu supaya menjaga pasir dan lumpur tidak bertaburan di sepanjang jalan selepas keluar dari tapak projek, tetapi malangnya mereka tidak mengendahkan perkara itu yang menyebabkan debu dan habuk bertebaran sehingga memasuki premis perniagaan.

"Paling teruk bermula tengah hari hingga petang kerana ketika itu bilangan kenderaan bertambah dan apabila cuaca kering serta berangin, kami terpaksa bersihkan meja banyak kali kerana sentiasa berdebu.

"Disebabkan masalah ini, pendapatan peniaga terdiri daripada 11 gerai dekat sini terjejas kerana pelanggan pun kurang datang kerana tidak tahan dengan pencemaran ini," katanya yang mendakwa pendapatannya merosot sebanyak 20 peratus daripada pulangan yang diterimanya antara RM200 hingga RM300 sehari.

WAN Saiful (dua kiri) mendengar luahan penduduk dan peniaga mengenai masalah pencemaran debu akibat kenderaan berat termasuk lori tanah keluar masuk di Kampung Lubuk Meriam. FOTO Danial Saad
WAN Saiful (dua kiri) mendengar luahan penduduk dan peniaga mengenai masalah pencemaran debu akibat kenderaan berat termasuk lori tanah keluar masuk di Kampung Lubuk Meriam. FOTO Danial Saad

Dalam pada itu, seorang penduduk Mohd Yusuf Mustaffa,70, berkata pakaian di ampaian luar rumahnya kerap menjadi warna 'merah' kerana diliputi debu yang berterbangan.

"Ini belum kira lagi debu dan habuk ini masuk ke dalam rumah yang selama lebih 30 tahun saya menetap di sini baharu pertama kali merasai masalah seperti ini yang ia amat merunsingkan saya kerana bimbang kesihatan terjejas," katanya.

Menurutnya, dia bersama peniaga di situ membuat beberapa aduan berhubung masalah itu dari Julai hingga September lalu kepada pihak berkaitan namun tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yang turun meninjau permasalahan berkenaan akan mengambil tindakan susulan terhadap pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian.

"Saya dimaklumkan bahawa aduan telah dibuat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini tetapi masih tidak ada jalan penyelesaian.

"Saya sedang mengenal pasti siapa pelaksana projek ini memandangkan tiada papan tanda yang diletakkan di situ," katanya.

#kw pencemaran, debu, jejaskan, peniaga, kesihatan, Tasek Gelugor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 2:58 PM