Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seramai 21 pekerja sebuah kilang memproses jubin batu marmar di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini, terpaksa tinggal dalam bilik sempit dan daif yang keseluruhan dinding serta bumbungnya diperbuat daripada kepingan zink.

Ia dikesan hasil operasi bersepadu membanteras buruh paksa dan pemerdagangan orang diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak ke atas kilang itu yang menempatkan tiga unit kediaman pekerja yang saling tidak tumpah seperti pondok.

Malah, kemudahan tandas juga tidak disediakan di unit penginapan itu selain sistem pendawaian elektriknya turut dilakukan sendiri.

Kemudahan asas seperti katil, tilam dan bantal turut tidak disediakan.

Pengarah JTK Perak Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, operasi bermula 10 pagi mendapati, kesemua unit penginapan berkenaan gagal mendapatkan perakuan daripada jabatan itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati penginapan di situ sangat tidak kondusif atau sesuai untuk dihuni memandangkan selain sistem pendawaian yang boleh disifatkan bahaya, persekitaran kediaman itu juga dalam keadaan semak.

Malah menurutnya, semakan rekod daripada majikan terbabit mendapati, 14 pekerja warga asing di kilang itu tidak disediakan dengan syarat perkhidmatan pekerjaan yang sepatutnya.

"Majikan mereka tidak pernah meminta perakuan penginapan pekerja daripada JKT walaupun sewajibnya mereka melakukan sedemikian. Sedangkan satu daripada keseluruhan 11 indikator buruh paksa adalah mengenai penginapan yang tidak kondusif.

"Daripada maklumat yang diperoleh, semua pekerja kilang itu merangkumi 14 pekerja warga asing dan tujuh tempatan tinggal dalam tempat penginapan dalam kawasan kilang yang disediakan majikan," katanya kepada media selepas serbuan di kilang terbabit hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 24D Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Sabit kesalahan, majikan boleh didenda RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, siasatan juga dibuka mengikut Peraturan 8 Akta Kerja 1955 bagi kesalahan gagal menyediakan syarat perkhidmatan kepada pekerja, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

"Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati semua pekerja warga asing di kilang itu mempunyai permit sah," katanya.

Selain JTK Perak, operasi turut membabitkan JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak yang menyasarkan tiga kilang di sekitar Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 2:50 PM