SEBUAH kilang pembuatan ais di Bukit Gedong, di sini. FOTO Bernama
SEBUAH kilang pembuatan ais di Bukit Gedong, di sini. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Sengaja beri layanan buruk apabila majikan sebuah kilang pembuatan ais di Bukit Gedong di sini, menjadikan ruang bawah tangki air sebagai tempat penginapan pekerjanya.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Rosli Jantan berkata, tindakan itu dikesan hasil siasatan dilakukan pihaknya terhadap kebajikan kesemua 14 pekerja warga Nepal terbabit semalam.

Menurutnya, pihak syarikat dikesan melakukan empat kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Ia termasuk mengabaikan aspek keselamatan penginapan pekerja warga asing termasuk menjadikan ruang bawah tangki air sebagai tempat penginapan pekerja mereka.

"Kesemua 14 pekerja warga Nepal di kawasan kilang itu juga sebahagiannya turut ditempatkan di kontena yang diubah suai sebagai kabin selain satu bilik menempatkan pekerja melebihi kapasiti dibenarkan," katanya tadi.

Menurutnya, JTK mendapati majikan juga tidak mempunyai pengakuan penginapan selain tidak mempunyai permit penginapan sementara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Majikan juga tidak menyediakan kemudahan asas seperti almari, tilam, peti kecemasan dan sebagainya selain tahap kebersihan di sini adalah tidak memuaskan," katanya.

Pada operasi bersepadu JTK Melaka selama satu jam itu, pihaknya turut mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Rosli berkata, majikan berkenaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM100,000 selain mendapati pekerja di situ juga didapati tidak menjalani ujian saringan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 95 peratus majikan di negeri ini masih belum memohon perakuan penginapan daripada JTK bagi menyediakan penempatan pekerja asing.

"Setakat ini sebanyak 82 majikan memohon pengakuan penginapan namun hanya 17 permohonan lengkap diterima manakala 48 permohonan tidak lengkap, satu permohonan ditolak, sebelas diluluskan dan tujuh dalam proses," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:01 PM