Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Hanya 46 daripada 456 majikan yang menggaji pekerja asing di negeri ini membuat permohonan perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Sebanyak 38 daripada permohonan itu sudah diluluskan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), manakala lapan lagi sedang diproses.

Pengarah JTK Kelantan Sulkifli Silang berkata, statistik itu menunjukkan kesedaran majikan untuk menyediakan kemudahan penginapan yang lengkap untuk pekerja masih rendah.

"Saya menyeru agar semua majikan hadir ke pejabat JTK membuat permohonan menyediakan tempat tinggal dan penginapan yang mengikut standard untuk pekerja.

"Akta itu menetapkan mana-mana majikan yang menggaji pekerja asing perlu menyediakan tempat tinggal yang kondusif dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

"Sekiranya gagal, majikan boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun," katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah tapak pembinaan di Tunjong di sini, hari ini.

Sulkifli berkata, lebih 250 lawatan serta pemeriksaan sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu membabitkan tempat tinggal pekerja dan daripada jumlah itu enam majikan didakwa.

Dalam lawatannya ke tapak pembinaan di Tunjong itu, tinjauan mendapati suasana tempat tinggal yang disediakan majikan tidak menepati piawaian apabila dilihat padat, tidak disediakan beberapa kelengkapan malah ruangnya juga agak terhad.

Tinjauan mendapati ruang dapur yang disediakan majikan untuk pekerja binaan yang majoritinya daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia sangat kotor dengan dapur memasak berkulat dan hitam serta berbau.

Sebanyak 18 kabin dan 12 rumah kongsi yang dijadikan tempat tinggal buat 70 hingga 80 pekerja tapak binaan juga diubah suai penghuninya, malah ada yang bertindak memasak dalam ruang sempit itu.

"Hasil lawatan hari ini mendapati rumah kongsi dan kabin ini tidak sesuai dijadikan tempat tinggal, malah tidak disediakan tilam atau katil serta almari.

"Sesetengahnya juga makan dan memasak dalam bilik masing-masing yang memperlihatkan situasi penempatan tidak kondusif dan pihak kami mengeluarkan notis pematuhan mengikut Akta 446," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:32 PM