Keadaan satu daripada 11 unit premis yang menjadi kediaman warga asing yang bekerja di sebuah kilang kejuruteraan logam di Kawasan Industri Pengkalan 2, Lahat, di sini, yang didapati sesak selain kebersihan yang tidak memuaskan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Keadaan satu daripada 11 unit premis yang menjadi kediaman warga asing yang bekerja di sebuah kilang kejuruteraan logam di Kawasan Industri Pengkalan 2, Lahat, di sini, yang didapati sesak selain kebersihan yang tidak memuaskan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tinggal dalam keadaan berhimpit dan sesak. Begitu nasib pekerja asing yang menghuni 11 unit kediaman disediakan sebuah kilang kejuruteraan logam di Kawasan Industri Pengkalan 2, Lahat, di sini.

Keadaan itu dikesan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak ke atas enam unit rumah kedai, empat kontena dan sebuah pondok diperbuat daripada kepingan zink, hari ini.

Lebih menyedihkan, kontena yang terletak di belakang kilang berkenaan memuatkan 10 pekerja menyebabkan keadaan agak sempit.

Pengarah JTK Perak, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, operasi bermula 10.30 pagi mendapati kesemua unit penginapan berkenaan gagal mendapatkan perakuan daripada jabatan itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati berlaku kesesakan dalam kediaman terbabit dengan ketidakpatuhan kepada penjarakan fizikal terutama pada unit kontena yang memuatkan kira-kira 10 pekerja berbanding enam pekerja seperti ditetapkan.

"Biarpun kontena sememangnya boleh dijadikan tempat penginapan pekerja, namun pemeriksaan mendapati tiada penjarakan fizikal diamalkan, selain tiada ruang pengaliran udara sehingga menimbulkan rasa kurang selesa penghuninya.

"Bagi kontena bersaiz biasa, kebiasaannya ia hanya boleh memuatkan enam pekerja sahaja, malah pemerhatian turut mendapati jarak katil mereka terlalu rapat.

"Selain faktor penjarakan fizikal, tahap kebersihan premis juga tidak memuaskan," katanya dalam sidang media, di sini.

Operasi berkenaan turut membabitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kesihatan Negeri, polis dan Majlis Daerah Batu Gajah.

Tinjauan Harian Metro mendapati tempat tidur juga dijadikan ruang memasak selain basikal turut diletakkan di dalam kontera terbabit.

Muhammad Fauzi berkata, tempat penginapan itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan kertas siasatan akan dibuka.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), jika sabit kesalahan majikan boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:29 PM