KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO AIZUDDIN SAAD
KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengalaman berada pada tiga zaman peralihan kerajaan memberikan kelebihan kepada Pemuda Umno untuk memperbaiki diri.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia menjadi ruang untuk muhasabah diri dan terus bekerja kuat demi parti dan rakyat.

Beliau berkata, Pemuda Umno turut menggunakan platform Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menyatakan pendirian.

"Itu yang kita setuju bahawa pemilihan parti perlu diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

"Sebab itu saya kata faham konsep medan dan pangkalan. Sebab itu saya tidak ada jawatan, saya beritahu presiden, biar saya bantu parti, kader parti.

"Yang jaga pangkalan mesti kukuhkan pangkalan. Komunikasinya jangan terputus, jangan biar ada pihak laga-lagakan dan hancurkan medan dan pangkalan," katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda Umno, hari ini.

Beliau berkata, tidak ada isu dua kumpulan iaitu Presiden Umno dan Perdana Menteri seperti yang dicanangkan pihak tertentu.

Katanya, ia hanyalah soal masa dan tidak ada pun sesiapa yang tidak bersetuju untuk diadakan PRU.

"Kita sepakat daripada awal bahawa itu hanya kerajaan sementara. Sebab itulah Pemuda generasi yang perlu dekat dengan denyut hati rakyat.

"Perjuangan Pemuda Umno perlu konsisten dan tahu hasrat yang sama-sama diimpikan. Biar pemimpin buat keputusan dan kita jangan hilang fokus. Pemilihan, kita sudah sepakat Malam ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan bawa usul kita.

"Jangan ada lagi suara sumbang, jangan ada lagi gerakan yang cuba melaga-lagakan pemimpin terutama dalam kalangan Pemuda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 9:09 PM