ASYRAF Wajdi Dusuki pada sidang media di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
ASYRAF Wajdi Dusuki pada sidang media di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak kenyataan dibuat Pemuda Umno yang tidak akan menjemput parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadiri perhimpunan sayap parti itu yang berlangsung minggu depan.

Tegasnya, sayap wanita, pemuda dan puteri seharusnya mengikut 'kelaziman' yang dibuat di peringkat Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 utama yang menjemput parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Di peringkat wanita, pemuda dan puteri dia akan mengikut apa yang dibuat di peringkat PAU utama," katanya pada sidang medianya di Menara Dato' Onn hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Harian Metro bahawa Pemuda Umno tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu depan.

Menerusi wawancaranya bersama akhbar ini, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mahu 'memperbetulkan' dulu apa yang berlaku di 'rumahnya' sebelum menjemput mana-mana parti.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kenyataan dibuat bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bahawa Umno akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah merupakan ramalan.

"Ramalan (Khairy) itu kekal dengan ramalan. Apapun Umno fokus kepada agenda kita.

"Kena ingat satu perkara yang ramai mungkin terlupa bahawa Umno tidak pernah mencairkan prinsip perjuangan dan agenda asas sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Menyentuh mengenai penyertaan semula bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Asyraf Wajdi berkata, parti itu bersifat terbuka dan tidak boleh menyekat mana-mana pihak yang mahu menyertai mereka.

"Dalam realiti hari ini, parti tak boleh menyekat mana-mana pihak selagi mana mereka ingin menyumbang untuk memperkukuhkan Umno dan menarik sokongan (orang ramai).

"Sudah tentu sebagai seorang bekas Menteri Besar (Isa) mempunyai pengalaman yang panjang dan hubungan akrab bersama veteran Umno. Mungkin itu salah satu kekuatan yang dapat disumbangkan," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan semula Isa adalah kerana beliau mahu kekal dalam parti yang sebelum ini ditinggalkannya.

"Bagi orang yang mempunyai pengalaman yang panjang, sejarah panjang dan sentimental yang cukup tinggi, mungkin beliau mahu kekal dalam Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 2:45 PM