Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Nasaruddin Parzi dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Sayap UMNO mahu parti menyingkirkan pemimpin pengkhianat yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan mengutamakan diri daripada parti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemimpin itu terbukti secara terbuka berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.

"Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi.

"Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi 'hero' dengan mencerca parti. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup. Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna dan paling hebat segala-galanya.

"Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf Wajdi menyampaikan ucapan. FOTO BERNAMA
Asyraf Wajdi menyampaikan ucapan. FOTO BERNAMA

Katanya, bagaimana rakyat boleh mempercayai UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat saling bercakaran.

Manakala Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan berkata, sesiapa saja ahli UMNO tanpa mengambil kira jawatan dan kedudukan yang terbukti mengkhianati perjuangan perlu segera disingkirkan supaya 'barah' itu tidak merebak dalam parti keramat itu.

Katanya, mana-mana ahli yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti juga harus diambil tindakan disiplin.

"Berparti ada adabnya tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti. Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan dan tindakan mesti diambil segera.

"Pengkhianat parti adalah seperti barah yang jika tidak 'dipotong' akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Justeru katanya, membina disiplin parti adalah sebahagian dari tuntutan yang perlu diberi penegasan dalam gerak kerja yang akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 12:30 PM