ASYRAF Wajdi (tengah) bersama-sama Setiausaha Wanita , Setiausaha Pergerakan Pemuda dan Puteri memegang beg yang akan diserahkan kepada perwakilan. FOTO  Aziah Azmee.
ASYRAF Wajdi (tengah) bersama-sama Setiausaha Wanita , Setiausaha Pergerakan Pemuda dan Puteri memegang beg yang akan diserahkan kepada perwakilan. FOTO Aziah Azmee.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 yang berlangsung minggu hadapan bakal mencatatkan sejarah apabila dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat daripada parti pada 1998.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar akan hadir bersama-sama dengan 19 presiden parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Ini adalah saat dan sejarah buat PAU yang disertai oleh pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia," katanya pada sidang medianya di Menara Dato' Onn hari ini.

Anwar sebelum ini pernah hadir dan berucap di Dewan Merdeka sewaktu Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei lalu.

PAU 2023 akan berlangsung bermula pada 7 hingga 10 Jun ini di WTCKL.

Ia akan dimulakan dengan sebuah program bersama jentera penerangan parti seluruh Malaysia yang dihadiri oleh tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Asyraf Wajdi memaklumkan, jumlah perwakilan yang hadir ke PAU 2023 juga bertambah disebabkan pindaan yang dibuat semasa PAU Khas pada Januari lalu.

Beliau berkata, buat pertama kali parti itu akan menjemput ketua penerangan di peringkat bahagian dan sayap ke PAU 2023.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan perwakilan ke PAU kali ini adalah seramai 6,341 orang," katanya.

Katanya, dari segi pecahan PAU 2023 akan dihadiri 2,888 perwakilan manakala bagi wanita akan dihadiri 1,159, Pemuda (1,160) dan Puteri (1,134).

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, perbahasan PAU kali ini adalah terbuka dan pihaknya menjangkakan antara usul utama yang akan dibawa perwakilan adalah berkaitan ekonomi rakyat, kedudukan dan kepentingan agama Islam.

"Saya menjangkakan isu-isu yang menyentuh soal ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara akan menjadi topik utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 1:41 PM