Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Pergerakan Pemuda Umno mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera terhadap semua petisyen pilihan raya yang dikemukakan mengenai salah laku, sogokan wang dan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa terdapat pelbagai bukti termasuk rakaman video menunjukkan pihak merasuah pengundi terutama golongan muda sepanjang tempoh kempen.

"Barangkali ada parti selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling kononnya untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa.

"Mungkin ini juga ada parti yang baru setahun jagung ditubuhkan tiba-tiba begitu kaya dan mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan kali pertama.

"Namun jangan sesekali lupa aturan Allah, menang banyak (kerusi Parlimen PRU-15) pun belum tentu menjadi kerajaan. Percayalah kepada konsep dan prinsip keberkatan serta barakah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (Pau 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

ASYRAF Wajdi menyampaikan ucapan pada Persidangan Sayap Pemuda Umno. FOTO Asyraf Hamzah
ASYRAF Wajdi menyampaikan ucapan pada Persidangan Sayap Pemuda Umno. FOTO Asyraf Hamzah

Selain itu, Asyraf turut mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengambil tindakan menahan suspek kes penyelewengan Pakej Rangsangan bernilai RM92.5 bilion yang diluluskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Beliau berkata, ia mengesahkan lagi kesangsian Pemuda Umno selama ini yang berkemungkinan berbilion duit rakyat 'disakau' melalui projek rundingan terus yang diluluskan kerajaan sepanjang tempoh darurat negara.

Justeru, katanya, Pemuda Umno menggesa SPRM dan Jabatan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang terbabit rasuah serta penyelewengan.

"Jangan ada lagi pilih kasih dan pendakwaan politik terpilih. Ramai orang kita (Umno) menjadi mangsa penganiayaan dan penghinaan, mereka dan keluarga dimalukan bertahun-tahun lamanya.

"Ingat karma bagaimana kamu lakukan begitulah kamu diperlakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:41 AM