ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Dua lelaki tempatan ditahan polis semalam kerana bertindak sebagai transporter untuk membawa 16 individu disyaki pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar, termasuk dua wanita, dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang.

Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing memandu kenderaan e-hailing iaitu Perodua Aruz dan Proton Saga yang untuk mengambil warga Myanmar terbabit dari sempadan Malaysia-Thailand menuju ke Pulau Pinang.

Mereka mendakwa bekerja hanya sebagai pemandu e-hailing dan tidak mengetahui kesemua penumpang yang dibawa adalah Pati.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, suspek pertama berusia 29 tahun ditahan sepasukan anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada 4.20 pagi di Kilometer 7.5 Lebuhraya Utara Selatan, ketika memandu Proton Saga.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta terbabit menemui dua wanita dan empat lelaki Myanmar tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, pemandu kereta itu mengaku dihubungi seorang lelaki tidak dikenali untuk mengambil enam Pati termasuk dua wanita di Ladang Rakyat di sini, dengan bayaran RM300 seorang untuk membawa mereka ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Tangkapan kedua pula dilakukan pada 5.20 pagi semalam di kawasan Simpang tiga kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam selepas anggota kami menahan Perodua Aruz yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun yang berasal dari Pulau Pinang.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 10 lelaki warga Myanmar disyaki Pati kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Rodzi berkata, hasil siasatan mendapati, pemandu kedua mengaku diupah dengan bayaran RM2,000 seorang, jika selesai menghantar mereka dari sempadan ke Bukit Minyak di Pulau Pinang.

Beliau berkata, berikutan itu kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

"Siasatan juga mendapati, kesemua Pati berusia antara 20 hingga 42 tahun itu disyaki masuk ke negara ini melalui kawasan hutan bahagian timur Bukit Kayu Hitam melalui ejen dari Thailand.

"Pemandu kereta pertama dan kedua juga mendakwa tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mengetahui kesemua penumpang yang dibawa mereka adalah Pati.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 9:27 AM