Sebahagian daripada tujuh Pati warga Myanmar yang ditahan polis dalam sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan yang juga pemandu e-hailing di Plaza Tol Hutan Kampung arah selatan. FOTO IHSAN PDRM
Sebahagian daripada tujuh Pati warga Myanmar yang ditahan polis dalam sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan yang juga pemandu e-hailing di Plaza Tol Hutan Kampung arah selatan. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pemandu e-hailing yang sanggup memandu jauh dari Pulau Pinang ke Bukit Kayu Hitam semata-mata untuk mengambil tujuh penumpang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar kerana bayaran lumayan.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 43 tahun yang bertindak sebagai 'transporter' untuk membawa kesemua Pati itu memasuki negara ini menggunakan Perodua Alza miliknya ternyata sia-sia apabila kegiatannya itu dihidu polis.

Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam Op Pintas di di Plaza Tol Hutan Kampung arah selatan pada 10.40 pagi hari ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek dipercayai datang dari Pulau Pinang selepas diarahkan seorang lelaki yang masih bebas untuk mengambil Pati berkenaan pada 15 Mei lalu di Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, suspek dikatakan bermalam di sebuah hotel di Changlun sementara menunggu mengambil kumpulan Pati yang dijadual tiba ke negara ini.

"Suspek kemudian mengambil tujuh Pati itu terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita daripada lelaki berkenaan dengan menaiki kereta Perodua Alza untuk dihantar ke kawasan Kulim.

"Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 41 tahun dipercayai masuk dari Myanmar ke negara Thailand melalui jalan darat dan berada di Thailand selama lima hari sebelum masuk ke Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hassan berkata, upah yang ditawarkan kepada suspek adalah RM300 untuk setiap satu trip perjalanan.

Beliau berkata, setiap Pati itu pula membayar RM700 setiap kepada ejen Thailand sebelum memasuki negara ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007/Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 8:10 PM