LELAKI warga tempatan (depan) bersama 12 Pati warga Myanmar yang cuba diseludup masuk ke negara ini. FOTO Ihsan PDRM.
LELAKI warga tempatan (depan) bersama 12 Pati warga Myanmar yang cuba diseludup masuk ke negara ini. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Lelaki tempatan sanggup menjadi 'transporter' untuk membawa masuk 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ke negara ini menggunakan van Toyota Hiace yang disewanya melalui sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini.

Lelaki berusia 33 tahun yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu sanggup berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan upah sekitar RM1,800 untuk membawa kesemua 12 Pati berkenaan ke selatan negeri ini.

Bagaimanapun tindakannya itu gagal apabila dia ditahan polis di Kilometer 6.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan dilakukan Asisten Superintendan Saifol Hasnol Saleh Hudin bersama sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada jam 5.50 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui sembilan lelaki warga Thailand berusia antara 15 hingga 40 tahun manakala tiga wanita Myanmar berusia antara 24 hingga 26 tahun.

"Hasil siasatan mendapati kesemua Pati berkenaan dipercayai masuk ke negara ini pada jam 9 malam tadi.

"Mereka kemudian dibawa dua lelaki masing-masing warga Thailand dan Myanmar yang bertindak sebagai pemandu arah dari Danok, Thailand ke Bukit Kayu Hitam melalui kawasan Bukit Tangga, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, selepas melepasi sempadan negara ini, kesemua Pati berkenaan menunggu di dalam hutan dan dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu arah itu masuk semula ke Thailand melalui jalan yang sama.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kesemua Pati berkenaan membayar wang sebanyak RM5,000 seorang kepada ejen lelaki Myanmar di negara mereka.

"Pemeriksaan juga mendapati, pemandu warga tempatan itu bekerja sebagai pemandu lori dan menerima bayaran sebanyak RM150 untuk setiap Pati.

"Van Toyota Hiace itu disewanya di Taiping, Perak sebanyak RM300 untuk mengambil Pati dari Bukit Kayu Hitam ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai berurusan dengan seorang lelaki tempatan di Kulim yang akan mengambil Pati itu dan upah hanya dibayar selepas selesai menghantar kesemua Pati berkenaan.

Beliau berkata, ini adalah kali kedua suspek melakukan perbuatan itu yang mana kali pertama dilakukannya pada pertengahan bulan ini.

"Berikutan itu, kita merampas Toyota Hiace bersama anak kunci dan alat kawalan jauh serta dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 9:35 PM