Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Lelaki warga Myanmar ditahan hari ini selepas dipercayai menjadi tekong untuk membawa masuk 11 warga Myanmar ke negara ini dengan memandu Proton Wira.

Dia yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) itu ditahan di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan, Jitra pada 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan mendapati suspek, 44, yang menetap di Butterworth, menerima upah RM500 membawa kesemua Pati itu ke Pulau Pinang.

Katanya, suspek bekerja sebagai buruh binaan bagaimanapun masih belum menerima bayaran dijanjikan.

"Dia dipercayai meminjam kereta itu daripada seorang lelaki di Butterworth, petang semalam. Bayaran untuk membawa Pati hanya akan dijelaskan selepas tugasan berkenaan.

"Pemeriksaan dalam kereta menemui dua wanita Myanmar berusia 19 dan 29 tahun, serta sembilan lelaki Myanmar berusia antara 25 hingga 37 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodzi berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua Pati itu masuk ke negara ini pada 7 petang semalam dan mereka dipercayai dipandu arah oleh dua lelaki Thailand untuk menceroboh melalui sempadan Thailand ke Bukit Kayu Hitam.

"Selepas melepasi sempadan negara ini, kesemua Pati berkenaan akan menunggu di dalam hutan dan dua lelaki Thailand itu akan pulang semula ke negara mereka.

"Kita turut merampas kereta Proton Wira hijau, sebatang kunci serta alat kawalan jauh dan telefon bimbit untuk membantu siasatan," katanya yang memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 3:28 PM