Lelaki tempatan ditahan bersama sebahagian daripada 11 Pati warga Myanmar dalam sebuah kenderaan Toyota Innova di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran lampu isyarat Pekan Changlun. FOTO IHSAN PDRM
Lelaki tempatan ditahan bersama sebahagian daripada 11 Pati warga Myanmar dalam sebuah kenderaan Toyota Innova di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran lampu isyarat Pekan Changlun. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki tempatan sanggup menyewa kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova semata-mata untuk membawa masuk 11 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 43 tahun itu yang bertindak sebagai transporter itu mengundang padah apabila dia ditahan polis di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran lampu isyarat Pekan Changlun, malam tadi.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaan MPV itu menemui 11 Pati yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kenderaan dipandu suspek ditahan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada jam 8.35 malam selepas didapati mencurigakan.

"Suspek dipercayai menyewa MPV berkenaan untuk membawa Pati terbabit dari Bukit Kayu Hitam ke Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, siasatan juga mendapati, kesemua 11 Pati itu dipercayai masuk ke negara ini sehari sebelum itu dua lelaki warga Thailand melalui Dannok, Thailand ke pagar sempadan Bukit Tangga, di sini.

Beliau berkata, semua Pati terbabit dikatakan bersembunyi di dalam hutan selepas berjaya melepasi sempadan sebelum dijemput oleh suspek untuk dibawa ke destinasi seterusnya.

"Siasatan mendapati semua Pati berkenaan membayar sekitar RM4,000 seorang kepada lelaki Myanmar di negara berkenaan yang bertindak sebagai ejen," katanya.

Rodzi berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:57 PM