Antara rumah di sekitar di Lorong 4, Jalan Mohd Yasmin, Telok Gadong terbabit insiden banjir kilat. FOTO IHSAN BOMBA
Antara rumah di sekitar di Lorong 4, Jalan Mohd Yasmin, Telok Gadong terbabit insiden banjir kilat. FOTO IHSAN BOMBA
Ruwaida Md Zain


Klang: Kejadian hujan lebat dan air pasang serentak awal pagi tadi, menyebabkan kira-kira 20 rumah di Telok Gadong di sini, ditenggelami banjir hampir satu meter.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden banjir kilat di kawasan berhampiran jalan Mohd Yasmin di sini, pada jam 8.21 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan awal.

"Siasatan mendapati kira-kira 20 rumah penduduk ditenggelami banjir kilat berkenaan. Namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

"Keadaan di lokasi terkawal, paras air dalam keadaan statik manakala hujan juga berhenti tidak lama kemudian," katanya.

Norazam berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi berkenaan bagi berdepan sebarang kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:09 PM