BOMBA menemui mayat remaja terapung pagi tadi.  FOTO Ihsan Bomba
BOMBA menemui mayat remaja terapung pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang remaja lelaki yang dipercayai terjatuh ke sungai ketika cuba mengambil bola ditemui lemas di sebuah sungai di Kampung Bukit Lanchong di sini, petang semalam.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.56 petang semalam sebelum tiba di lokasi 5.29 petang.

"Laporan awal dari komander operasi, kita mendapati seorang remaja lelaki dipercayai terjatuh ke sungai ketika cuba mengambil bola.

"Mangsa yang berusia 13 tahun itu dipercayai dibawa arus dan kemudian tenggelam.

"Anggota segera membuat pemantauan di lokasi manakala tugas mencari dan menyelamat diserahkan kepada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, semalam pencarian secara surface searching diteruskan di kawasan sekitar tempat mangsa dilihat kali terakhir sebelum tenggelam termasuk di kawasan kunci air.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak ditemui dan pencarian diteruskan hari ini.

"Pada hari ini, pencarian mangsa bermula jam 8 pagi dengan menggunakan dua bot.

Pada 8.21 pagi tadi, mayat mangsa ditemui terapung sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh semalam.

"Mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) berhampiran lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 9:31 AM