EMPAT sekeluarga mengangkat barangan ke atas meja selepas air masuk ke rumah mereka di Kampung Bandang Baru, Langkawi. FOTO ihsan bomba
EMPAT sekeluarga mengangkat barangan ke atas meja selepas air masuk ke rumah mereka di Kampung Bandang Baru, Langkawi. FOTO ihsan bomba
Hamzah Osman


EMPAT sekeluarga berbuka puasa dalam banjir kilat ekoran hujan lebat dan parit tersumbat di Kampung Bendang Baru di Langkawi, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, rumah keluarga terbabit dinaiki air ke paras pergelangan kaki, sekali gus membantut persiapan berbuka puasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.25 malam.

"Sepasukan tujuh anggota berserta satu jentera dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan kecemasan.

"Sebaik tiba, bomba mendapati banjir kilat berlaku kerana sistem parit tersumbat selepas pokok tumbang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, air memasuki rumah berkenaan ke paras pergelangan kaki dan tiada mangsa dipindahkan.

"Anggota bomba kemudian memotong pokok menggunakan gergaji berantai dan mengalihkan untuk membuka laluan air sebelum ia surut. Operasi tamat pada jam 8.17 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:40 PM