ANTARA kawasan dinaiki air di Klang, semalam. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kawasan dinaiki air di Klang, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Norzamira Che Noh


Klang: Jumlah mangsa akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di Klang terus meningkat kepada 1,011 orang sehingga jam 7 pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong, Masjid As-Islah dan Masjid Al-Ubudiah.

"SK Telok Gong merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 681 mangsa, setakat ini, yang mana kawasan itu paling teruk dilanda banjir kilat.

"256 mangsa ditempatkan di PPS Masjid As-Islah dan 74 lagi di Masjid Al-Ubudiah. Operasi masih dijalankan ketika ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, sebanyak 20 kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dan Telok Gong antara yang paling terkesan dengan kenaikan air sehingga ke paras pinggang.

Norazam berkata, kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 9:05 AM