LAPORAN  Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: 10 sekeluarga yang terperangkap hampir empat jam dalam kejadian kepala air ketika beriadah di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali, di sini, berjaya diselamatkan, malam ini.

Kesemua mangsa berusia enam hingga 63 tahun diselamatkan pasukan bomba pada jam 8.21 malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata 10 sekeluarga itu tidak mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, bomba dimaklumkan mereka akan pulang ke Sungai Buloh," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Norazam dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.36 petang.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Pada jam 7.55 malam, anggota bomba berjaya menyelamatkan semua kanak-kanak yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

"Manakala tiga lagi individu sedang diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 8:52 PM