Redzuan Muharam


Gombak: "Saya sudah 'bermain' dengan haiwan itu sejak kecil lagi, jadi tidak timbul perasaan takut sebaliknya lebih kepada sayang," kata Rahmad Muslim Syafrial.

Rahmad Muslim, 28, mendapat perhatian di TikTok apabila sering berkongsi gelagatnya 'melayan' sekumpulan lotong yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahannya di Kampung Gombak Indah, di sini.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) itu juga kelihatan tidak takut, malah ada di antara lotong berkenaan mesra dan jinak dengannya.

Bercerita lanjut, Rahmad Muslim berkata, kumpulan lotong itu sudah berkeliaran di perumahan rumahnya sejak puluhan tahun lalu.

"Saya tinggal di kawasan setinggan berhampiran hutan yang menjadi habitat lotong berkenaan dan disebabkan itu ia sering berkeliaran di sini.

"Bukan hanya lotong malah kera, beruk dan ular juga ada di kawasan ini. Cuma lotong lebih kerap muncul dan banyak berkeliaran di sini.

RAHMAD Muslim Syafrial tidak takut mendekati lotong di kawasan perumahannya.
RAHMAD Muslim Syafrial tidak takut mendekati lotong di kawasan perumahannya.

"Saya difahamkan, penduduk sudah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kerosakan bumbung berpunca daripada lotong berkenaan, namun diberitahu kawasan perumahan kami menjadi habitatnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Rahmad Muslim, setakat ini, kumpulan lotong berkenaan tidak bertindak agresif sebaliknya hanya berkeliaran mencari makanan.

Katanya, haiwan itu lazimnya berkeliaran pada waktu pagi dan petang, selain ketika cuaca hujan.

"Bilangan lotong itu tidak sampai ratusan, tetapi puluhan saja berkeliaran pada satu-satu masa. Haiwan itu sering ambil pucuk daun dan dulu, saya beri saja ia makan kek, coklat serta apa saja makanan yang ada.

"Bagaimanapun, selepas muat naik video beri makanan di TikTok, ada netizen yang menegur. Sejak itu, saya beri lotong itu makan buah saja," katanya.

Rahmad Muslim berkata, ada beberapa ekor lotong yang jinak, malah dia turut memberi nama mengikut fizikal haiwan berkenaan.

"Hendak kata jinak sangat itu tidak kerana lotong juga takut dengan manusia, malah akan memeluk anaknya jika berasa terancam.

"Cuma, mungkin disebabkan sudah biasa bermain dengannya, jadi beberapa ekor lotong itu sudah kenal dan tidak takut dengan saya.

"Antara nama yang saya beri adalah Ucop, Mama Rock dan Botak. Menariknya, bila panggil nama itu, ia akan datang malah seperti ada ikatan antara saya dan lotong berkenaan.

"Sebenarnya, mesej saya cuba sampaikan menerusi perkongsian di TikTok adalah menyayangi dan berbuat baik dengan haiwan kerana ia juga makhluk Allah di muka bumi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:48 PM