Rahmad Mega ketika membuat persembahan pada program hiburan, Terpaling Juara di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Rahmad Mega ketika membuat persembahan pada program hiburan, Terpaling Juara di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Georgie Joseph


Shah Alam: Juara Terpaling Juara, Rahmad Mega, 53, mengamalkan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok dan sentiasa positif sejak memasuki bidang muzik pada era 1980-an.

Rahmad atau nama sebenarnya Rahmad Tohak berkata ramai termasuk penyanyi rock seangkatannya pun tidak tahu dia tidak merokok ketika itu.

"Saya tak merokok. Saya daripada zaman rock dulu di mana ketika itu jangan kata rokok, orang yang terjebak dengan anasir-anasir lebih besar ketika itu sampai ketagih masuk pusat (pemulihan).

"Saya bercampur dengan mereka, penyanyi rock. Sampai mereka pun tak tahu saya tidak merokok. Saya memang ada prinsip, apa yang mereka nak, itu mereka punya hak.

"Prinsip itu daripada diri kita sendiri. Orang tak boleh nak pengaruh kita. Kita teguh dengan diri kita. Saya suka jadi positif," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Takdir Dan Waktu itu juga percaya sangat penting untuk sentiasa merendah diri apabila bergelar artis.

"Kita kena sentiasa bergaul dan jangan meninggi diri. Kita ini bukannya sentiasa di atas kan. Ketika di atas kita ingat di bawah, masa kita di bawah, kita perlukan orang untuk naik ke atas.

"Saya amalkan sikap saya popularkah, tak popularkah, itu diri saya," katanya.

Semalam, Rahmad melakar titik baharu dalam kerjayanya apabila memenangi program realiti nyanyian terbabit sekali gus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM100,000.

Menurutnya, dia mahu gunakan wang kemenangan itu ke umrah serta langsaikan hutang-hutang yang dia ada.

"Duit buat simpanan baharu untuk masa depan baharulah. Banyak simpanan lama sudah habis. Nanti nak bayar hutang-hutang juga.

"Perancangan ke umrah pun ada. Sebelum ini pernah pergi sendiri dan ingin bawa keluarga sekali nanti. Tapi belum ada ketetapan dibuat setakat ini," katanya.

Rahmad berjaya memikat juri tetap Datuk Hattan, Fauziah Latiff, dan juri jemputan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada pentas akhir itu. Dia turut mendapat undian tertinggi daripada penonton.

Menyanyikan lagu Ku Akui (Hafiz Suip) dan Di Penjara Janji (Datuk Awie) bersama kaptennya Hael Husaini, persembahan Rahmad banyak mendapat pujian positif pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 1:39 PM